|
KOTA ISKANDAR: Masalah pengangkutan awam di bandar raya Johor Bahru dijangka dapat diatasi dengan pelaksanaan sistem Bas Rapid Transit (BRT) yang akan dimulakan tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja raya dan Kemudahan Awam Negeri, Dato' Ahmad Zahri Jamil, berkata BRT merupakan sistem yang fleksibel dan mudah dilaksanakan berbanding dengan sistem Rel Transit Aliran Ringan (LRT). "Sistem ini berupaya memberi perkhidmatan yang setara dengan LRT di samping kos pembangunan dan pembinaan yang lebih rendah berbanding sistem lain. "Melihat daripada pengalaman di Bogota, Colombia dan Thailand, jumlah kos pembangunan BRT hanya satu per sepuluh daripada kos pembangunan sistem LRT," katanya. Katanya, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah mengajukan cadangan untuk melaksanakan projek perintis BRT itu dalam Rancangan Malaysia ke-10. Menurutnya lagi, tiga lorong BRT akan dibina lengkap dengan terminal, stesen, hab pertukaran bas dan kemudahan lapangan tempat letak kereta. "Sistem BRT ini merangkumi perkhidmatan bas di laluan utama yang terdiri daripada bas henti-henti dan ekspres serta disokong oleh perkhidmatan bas feeder untuk kawasan-kawasan berdekatan laluan BRT. Ahmad Zahri berkata demikian dalam ucapan penggulungannya di Sidang Dewan Negeri, di sini hari ini. Jelas beliau, sekiranya sistem ini dilaksanakan, industri pengangkutan awam dijangka mendapat keuntungan daripada peningkatan jumlah pengguna, kecekapan kos operasi dan penggunaan aset yang optimum. Di samping itu, katanya, kerajaan juga dapat meraih lebih banyak faedah melalui penambahbaikan kualiti hidup, kebolehcapaian penyelesaian pengangkutan yang cepat dan mampu laksana. "Penggunaan infrastruktur semasa secara optimum mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup masyarakat," katanya. Sementara menunggu projek BRT dilaksanakan di Iskandar Malaysia, Ahmad Zahri berkata, Kerajaan Negeri melalui pasukan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) akan mula memperkenalkan perkhidmatan Bas Ekspres Transit atau BEXTRA di bawah jenama Trans Iskandar. "Perkhidmatan BEXTRA adalah perkhidmatan bas dari satu tempat ke satu tempat yang lain yang bersifat ekspres dan hanya berhenti di hentian tertentu sahaja," katanya. Katanya lagi, PAIM akan mula menjalankan perkhidmatan BEXTRA di laluan Johor Bahru Sentral - Kulaijaya, dengan sembilan laluan. Jelasnya, BEXTRA di laluan itu akan mula beroperasi pada Ogos tahun ini dan dalam masa yang sama PAIM juga telah membuat perancangan untuk menjalankan BEXTRA di laluan Johor Baru - Ulu Tiram dengan 10 hentian terpilih. Katanya, laluan BEXTRA di laluan Johor Baru - Ulu Tiram akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini.
 |