|
Generasi Kedua Peneroka Felda Terima Tanah Untuk Bina Rumah |
|
|
|
|
Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah & Rozza Khairiah
|
|
Isnin, 01 Disember 2008 08:00 | 2137 hits
|
|
JOHOR BAHRU: Seramai 1,754 generasi kedua peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini menerima kurniaan tanah dengan purata keluasan 557 meter persegi setiap seorang untuk tujuan membina rumah.
Jumlah keluasan tanah yang dikurniakan untuk tujuan itu ialah 155.12 hektar, melibatkan 11 tanah rancangan Felda di seluruh negeri Johor. Ini dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Asiah Md. Ariff, ketika menjawab soalan wakil rakyat kawasan Tenang, Datuk Sulaiman Taha, pada persidangan Dewan Negeri hari ini.
Beliau berkata, penerima terbanyak adalah daripada Felda Bukit Batu seramai 328 orang melibatkan 18.29 hektar, diikuti oleh Felda Ayer Hitam 284 orang (15.586 hektar) dan Felda Sungai Sayong 238 orang (14.28 hektar).
Jelasnya, tanah rancangan lain yang menerima kurniaan itu adalah Felda Chemplak 187 orang (10.42 hektar), Felda Bukit Ramun 176 orang (10.56 hektar), Felda Taib Andak 129 orang (7.74 hektar), Felda Bukit Serampang 101 orang (10.19 hektar), Felda Kemelah 98 orang (8.71 hektar), Felda Tenang 82 orang (7.3 hektar), Felda Bukit Besar 68 orang (4.08 hektar) dan Felda Chemplak Barat 63 orang (4.1 hektar).
Asiah menjelaskan, penerima tanah kurniaan boleh mendirikan rumah mereka sama ada dengan perbelanjaan sendiri atau memohon pinjaman melalui skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang diuruskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
 |