Lupa password? Lupa username? Cipta Akaun
Anda di sini > Home Khabar Kaca Mata Medkom Jagalah bahasa… Jagalah tutur kata
Thu 09 Sep 2010
 
Jagalah bahasa… Jagalah tutur kata PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Fadzli Abu Bakar   
Selasa, 26 Januari 2010 12:16 | 704 hits
Sembah takziah diucapkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah binti Almarhum Tunku Ahmad, Sultanah Johor; kerabat diraja; kerajaan negeri dan seluruh rakyat Johor di atas kemangkatan Almarhum DYMM Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail pada 22 Januari 2010 lalu.

Dengan kemangkatan itu, kini rakyat Johor berbelasungkawa dan berkabung sebagai lambang kasih sayang serta bukti taat setia kepada Almarhum. Maka ramailah rakyat jelata memakai songkok berlilit kain putih, bertudung putih dan melilit kain hitam (bagi bukan Islam) dalam tempoh seminggu bermula tarikh kemangkatan tersebut.

Sesi 'mengeteh' saya baru-baru ini menyentuh isu ungkapan penghinaan oleh seorang penulis blog yang ditujukan kepada Almarhum. Ungkapan itu sangat mengguris perasaan rakyat Johor khususnya dan masyarakat Melayu umumnya.

Penulis blog yang biadap itu ibarat mata berkutuk, hati bersetan. Manakan tidak? Orang kita tidak pernah tergamak untuk mengeluarkan perkataan kasar seperti 'itu' kepada seorang arwah. Apatah lagi perkataan itu ditujukan kepada peristiwa kemangkatan sultan yang dikasihi. Mujurlah ramai orang kita yang mengutuk tulisan itu dengan sekeras-kerasnya.

Ungkapan kurang ajar itu menimbulkan kemarahan orang ramai. Walaupun penulis blog itu kini resah gelisah melanting-lanting ibarat cacing kepanasan dan sudah memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, namun luka di hati rakyat masih terasa. Pedih dan perit rasanya mengingatkan kata-kata tidak sopan itu. Pada hari persemadian Almarhum, beribu-ribu rakyat jelata menziarahi istana dan makam baginda. Bayangkan bagaimana perasaan rakyat Johor yang sedang dilanda kemurungan itu tiba-tiba disentap dengan penghinaan oleh orang Melayu sendiri. Ke manakah perginya adab dan akhlak sebagai bangsa yang bermaruah itu?

Tidak cukup dengan penghinaan di blog, kini muncul pula video yang mempersendakan Almarhum di YouTube. Lucukah mempersendakan institusi diraja?

Sedih rasanya melihat semangat kenegaraan di kalangan rakyat yang kian terhakis. Satu persatu semangat mematuhi isi kandungan Rukun Negara semakin terhakis. Kesopanan dan kesusilaan kian pudar. Kedaulatan undang-undang kian digugat. Keluhuran perlembagaan kian dipertikaikan. Kesetiaan kepada raja dan negara pun kian dikaburkan. Bagaimana pula dengan kepercayaan kepada Tuhan?

Rukun negara adalah tiang yang menyokong pembentukan sesebuah negara. Kalau tiangnya goyang, maka apa pula akan jadi kepada strukturnya? Sedarlah wahai anak bangsaku…

Penulis - Jika kerabat si penulis blog itu meninggal dunia, marahkah kalau perkataan yang sama dilontarkan kepada si arwah? Tepuk dada, tanyalah selera.

"Rahsia di hati tak siapa tahu, getar di jari satu dunia boleh tahu…"
Komen (1)Add Comment
...
Dikomen oleh mohd fairus bin othman, January 28, 2010
Hukuman yg setimpal harus diberikan..semoga kejadian seperti ini tidak berulang.

Tulis komen.
Anda perlu daftar masuk untuk menulis komen. Sila daftar jika anda tiada akaun lagi.

busy
 
 

logo botHakcipta Terpelihara © 2009 Medkom
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Segala surat atau komen yang disiarkan adalah pandangan penulis itu sendiri dan tidak semestinya mencerminkan pendapat dan pendirian Medkom. Segala pandangan yang dikirim amat dihargai.
Paparan terbaik dengan Firefox 3.0 [ resolusi 1024x768 ]