|
Kalimah Allah dalam Rukunegara? |
|
|
|
|
Ditulis oleh Che' Jotos
|
|
Rabu, 06 Januari 2010 17:47 | 596 hits
|
|
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh kepada mereka yang beramal di masjid dan Selamat Sejahtera kepada yang menyanyi di gereja, menyembah di rumah berhala atau sedang buat apa sahaja di rumah ibadat mana-mana.
Che' Jotos mengungkap dua ucapan berbeza kerana mereka mempunyai kepercayaan dan pegangan yang tidak serupa, sekali gus berlainan anutan dan agama.
Mengapa tidak mengucapkan salam yang sama kepada orang bukan Islam?
Sesiapa pun rasanya tidak sukar untuk memberikan jawapannya. Tidak perlulah Che' Jotos menghuraikannya kerana masing-masing sedar dan faham sebab dan alasannya. Orang bukan Islam pun ramai yang sedar dan faham dari dulu lagi, hinggalah sekarang.
Sesiapa yang mengatakan dirinya rakyat negara ini, lahir di sini, bumi Malaysia ini tumpah darahnya, tiada kiblat lain baginya; mustahil tidak faham. Tidak tahulah kalau ada yang sengaja buat-buat tidak faham dan hanya mereka sendiri yang tahu sebabnya.
Begitulah agaknya apabila Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu memutuskan (tentulah hakim yang memutuskan) bahawa berasaskan tafsiran undang-undangnya ke atas Perlembagaan Persekutuan, Gereja Katolik boleh menggunakan kalimah Allah.
Apakah ini natijah daripada pemikiran rasional, akal yang bijaksana dan sikap yang terbuka? Tentunya mereka berpelajaran dan berjawatan, malah mempunyai kedudukan dan martabat serta kuasa dalam sistem pemerintahan negara.
Semua agama memang ada kepercayaan, tetapi percaya kepada Tuhan masing-masing. Sebab itu, dalam Rukunegara kita, tidak disebut kepercayaan kepada Allah, tetapi kepercayaan kepada Tuhan kerana rakyat negara ini berbilang kaum dan berlainan agama serta pegangan.
Tapi kalau Tuhan agama lain sudah boleh disamakan dengan nama Allah, boleh ke penganut agama lain menerimanya kalau kita tukar baris pertama Rukunegara kepada Kepercayaan Kepada Allah.
Setuju ke mereka memulakan ikrar Rukunegara dengan: KEPERCAYAAN KEPADA ALLAH KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA KELUHURAN PERLEMBAGAAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG KESOPANAN DAN KESUSILAAN
Bagaimana? Bolehkah kita mengubah Rukunegara menjadi sebegitu rupa? Bolehkah kaum lain menerimanya? Tidakkah ia menjadi sensitif kepada penganut agama lain?
Kita semua pun rasanya boleh teka apa jawapan mereka. Rasa-rasanya cadangan ini akan ditentang habis-habisan dan tentulah alasannya ia sensitif kepada penganut agama lain. Mereka akan berkata Allah bukan Tuhan agama lain dan agama lain pun ada nama-nama Tuhan mereka sendiri.
Kalau itu jawapannya, bermakna apabila sesuatu itu menyentuh ke atas mereka ia jadi sensitif, tapi kalau dikenakan ke atas umat Islam, tidak pula sensitif. Masuk akal ke?
Che' Jotos - Kadang-kadang bau pun dah cukup sensitif.
 |