|
Ditulis oleh Che' Jotos
|
|
Rabu, 29 Julai 2009 17:24 | 761 hits
|
Dengarnya ramai tidak puas hati dengan perkhidmatan bas di bandaraya Johor Bahru dan seolah-olahnya ia seperti satu hal yang tidak boleh selesai atau semacam tidak mahu diselesaikan.
Pihak Iskandar Malaysia pun pening dibuatnya kerana syarikat-syarikat bas beroperasi ikut suka hati. Mana tidaknya, laluan setiap bas tidak jelas, waktu perjalanan pun tidak ada, malah ada bas yang ditunggu-tunggu, tak kunjung tiba.
Terlewatlah mereka yang mengharapkan bas untuk ke tempat kerja, hampalah yang ada temu janji, urusan perniagaan, atau nak bergegas ke sesuatu destinasi. Itu belum ambil kira mereka yang nak ke hospital, senak menahan sakit di hentian bas.
Seolah-olahnya soal bas hanya jadi soal suka-suka syarikat bas, macam teksi yang beri perkhidmatan ikut waktu pemandu teksi sendiri. Destinasinya pun begitu, kalau penumpang nak menghala ke lain, tetapi pemandu nak menuju tempat lain, lupakanlah perkhidmatan itu.
Memang pelik, sebab sesama syarikat bas pun khabarnya adalah masalah juga. Syarikat bas tidak mahu paparkan jadual perjalanan kerana bimbang syarikat bas lain 'cilok' penumpang dengan potong jalan dan ambil penumpang yang sama lebih awal.
Ada juga bas tidak ikut laluan sepatutnya kerana kurang penumpang dalam satu-satu kawasan. Mereka dakwa tidak langgar peraturan pun kerana dalam lesen hanya peruntukan perkhidmatan dari satu destinasi ke satu destinasi, tetapi tidak sebut laluannya. Maka, terpulanglah kepada syarikat bas atau pemandu bas.
Dalam wilayah Iskandar Malaysia ada lima syarikat bas dan khabarnya, tambah lagi dua baru-baru ini, menjadi tujuh syarikat. Namun semua syarikat terbabit tidak kerjasama dan dengarnya, masing-masing tidak endah apabila pihak Iskandar Malaysia ajak berbincang untuk tingkatkan mutu perkhidmatan.
Syarikat bas pun dikatakan sudah malas dan buat apa-apa, kerana ada juga antara mereka itu yang beri lesen pada orang lain untuk jadi 'bas sapu'. Selalu kita dengar ada 'teksi sapu', rupa-rupanya 'bas sapu' pun ada.
Khabarnya, orang yang ada bas boleh sewa lesen perjalanan dari syarikat bas. Bas itu pun buat perkhidmatan mengambil penumpang dalam laluan yang mereka pilih sendiri. Mangsanya, syarikat bas lain dan penumpang itu sendiri.
Begitulah bisikan yang kita dengar hari ini, sedangkan lesen bas banyak dikeluarkan oleh LPKP di Johor Bharu. Khabarnya untuk seluruh wilayah Iskandar Malaysia, lebih 800 lesen bas telah dikeluarkan, tetapi perkhidmatannya…
 |
Bila dah terlampau banyak persaingan pengusaha, pengguna yang menjadi mangsa.
Rata-rata pengguna pengangkutan awam di Malaysia ni bukanlah orang yang berkemampuan untuk berknderaan sendiri. Tapi merekalah penyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar dan pengurangan kesesakan lalulintas di Malaysia.