Lupa password? Lupa username? Cipta Akaun
Anda di sini > Home Khabar Nak Makan Apa Ek? Selera menghirup di Parit Jawa
Thu 09 Sep 2010
 
Selera menghirup di Parit Jawa PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Holistik   
Isnin, 22 Oktober 2007 12:08 | 1346 hits
TANPA dirancang, Parit Jawa, sebuah pangkalan nelayan di Muar yang dianggap agak terpencil satu ketika dahulu telah menaikkan populariti masakan asam pedas.

Hari ini, 17 tahun selepas gerai pertama yang menghidangkan asam pedas di situ dibuka, tempahan awal perlu dibuat agar tidak kempunan.

Jika sudah ada tempahan, menunggu dalam kenderaan sehingga sejam kerana ketiadaan tempat meletak kenderaan adalah satu lagi dugaan.

Namun bagi kaki makan lebih-lebih lagi peminat masakan itu, keistimewaan asam pedas sembilang, pari, mayong, jenahak dan merah, apatah lagi dijamu dengan nasi panas atau roti canai mengatasi segalanya.

Yang sudah terkena penangan asam pedas Parit Jawa, jarak beratus batu bukan lagi penghalang untuk mengulangi kunjungan ke jeti nelayan ini.

Suasana kuala sungai yang cukup jelas sebagai pangkalan nelayan dipenuhi bot dan sampan, disertai kehangatan angin laut menambah selera tidak kira di waktu matahari tegak di atas kepala mahupun dikala kesunyian malam.

Bermula dengan sebuah warong yang diusahakan Yusof Merah di tebing sungai berhampiran pangkalan itu pada 1990, gerai asam pedas telah bercambah melebihi 10 buah termasuk yang dibina dengan lebih kemas oleh Majlis Perbandaran Muar.

Menurut Yusof, ketika mula-mula berniaga, hanya gerainya yang menyediakan menu asam pedas untuk pelanggan yang terdiri daripada kalangan penduduk setempat dan juga nelayan yang hendak ke laut.

“Hari berlalu dan ditakdirkan Tuhan semakin ramai yang mengunjungi tempat ini sementara bilangan gerai bertambah dan semuanya menghidangkan masakan asam pedas.

“Sekarang sudah ada kira-kira 10 gerai yang menjadikan asam pedas menu utamanya dan sambutan sungguh menggalakkan sehingga menjadikan tempat ini terkenal dengan asam pedas,” katanya.

Yusof bagaimanapun hanya kembali mengusahakan sendiri Gerai Asam Pedas Ani miliknya sejak dua tahun lalu selepas menyewakannya kepada peniaga lain. Beliau menyewakan gerai itu kerana tidak mampu menguruskannya sendiri.

“Ketika itu tiada sesiapa membantu saya tetapi kini saya mengusahakannya sendiri bersama-sama anak dan menantu.

“Saya tidaklah mahu mengatakan kami pengasas asam pedas di sini, tapi kamilah yang mula-mula sekali membuka gerai di sini,” katanya.

Yusof berkata pelanggan datang dari merata tempat.

Katanya mengetahui ada yang datang dari Kuala Lumpur dan Singapura untuk menikmati keenakan asam pedas Parit Jawa bukanlah suatu perkara baru.
 
“Tetapi bila ada yang mengatakan bahawa mereka sanggup memandu sejauh itu semata-mata untuk makan asam pedas Parit Jawa adalah sesuatu yang menakjubkan,” katanya.

Yusof berkata kebanyakan gerai dibuka pada jam 10 pagi tetapi waktu menutupnya tidak menentu.

Namun, melihat gerai-gerai di situ terus dipenuhi pengunjung hingga seawal 2 pagi adalah perkara biasa.

Lain ikan lain peminatnya

Boleh dikatakan setiap ikan seperti sembilang, pari, mayong, jenahak dan merah mempunyai peminatnya sendiri, sebagaimana diakui Zaini, anak Yusof yang membantunya di gerai.

Menurutnya, orang Melayu amat gemar dengan asam pedas ikan sembilang dan kepala ikan mayong yang tentunya ikan segar yang didaratkan nelayan di pangkalan di situ yang dimakan bersama nasi putih panas.

Pelanggan Cina pula, katanya lebih gemar mencecah roti canai dengan asam pedas pari dan jenahak.

Namun, ada ketikanya pelanggan menjilat tapak tangan apabila ikan yang dicari sudah habis kerana kekurangan bekalan ikan segar dari nelayan di situ dan di bandar Muar.

“Bukan mereka sahaja yang kecewa malah kami pun sedikit terkilan tidak dapat menghidangkan masakan kebangaan kami terutamanya apabila yang datang dari jauh bersama keluarga,” kata Zaini.

Rahsia asam pedas Parit Jawa
   
Keistimewaan asam pedas Parit Jawa mengundang pertanyaan mengenai rahsia memasaknya.

Adakah ramuannya atau cara memasaknya yang menjadikan asam pedas di pangkalan nelayan ini disebut di merata negara?

Yusof yang dianggap ramai sebagai perintis gerai asam pedas di sini pun tidak dapat  menyatakan rahsia yang membuatkan asam pedas Parit Jawa begitu istimewa.

“Bagi saya apa yang paling penting ialah bahan-bahannya mestilah yang terbaik.

“Lada kering adalah yang penting sekali. Saya gunakan lada kering gred satu kerana bila dimasak, kuah akan menjadi lebih merah dan pekat serta rasanya lebih sedap berbanding lada kering gred lain,” jelasnya.

Yusof berkata pernah terjadi apabila beliau secara tidak sengaja menggunakan lada kering gred lain, warna kuah asam pedasnya kurang merah dan ia disedari pelanggan tetapnya.

“Saya tidak menganggap itu rahsia sebaliknya petua saya,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan antara asam pedas Parit Jawa dengan asam pedas Melaka, beliau berkata kedua-duanya agak sama.

“Kalau ada pun cuma daripada segi ramuannya. Asam pedas Melaka menggunakan belacan dan lengkuas sedangkan di sini, kedua-dua bahan itu tidak digunakan,” katanya.

Yusof juga bercadang mengembangkan sayap perniagaannya dengan membuka sebuah gerai asam pedas di Melaka.

“Saya dan anak sudah ke sana untuk meninjau lokasi yang sesuai. InsyaAllah, jika ada rezeki saya akan membuka satu gerai di sana,” katanya.
Komen (0)Add Comment

Tulis komen.
Anda perlu daftar masuk untuk menulis komen. Sila daftar jika anda tiada akaun lagi.

busy
 

FOKUS HARIAN

MB: Hayati konsep keadilan
17 August 2010
KOTA TINGGI, 17: Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, menyeru rakyat di negeri ini agar terus menghayati konsep keadilan yang sekian lama diamalkan di Malaysia. 
More in: Fokus Harian

MAKAN APA EK?

Selera menghirup di Parit Jawa
22 October 2007
TANPA dirancang, Parit Jawa, sebuah pangkalan nelayan di Muar yang dianggap agak terpencil satu ketika dahulu telah menaikkan populariti masakan asam pedas.
 

logo botHakcipta Terpelihara © 2009 Medkom
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Segala surat atau komen yang disiarkan adalah pandangan penulis itu sendiri dan tidak semestinya mencerminkan pendapat dan pendirian Medkom. Segala pandangan yang dikirim amat dihargai.
Paparan terbaik dengan Firefox 3.0 [ resolusi 1024x768 ]