Lupa password? Lupa username? Cipta Akaun
Anda di sini > Home Khabar Mata Hati Beban 2008; akuilah realitinya
Thu 09 Sep 2010
 
Beban 2008; akuilah realitinya PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Mohd Sa'odi Mat Atar   
Rabu, 31 Disember 2008 11:38 | 454 hits
PERGINYA 2008 meninggalkan bebanan bukan sahaja daripada segi tekanan ekonomi bahkan politik dan sosial yang terkumpul untuk digalas selepas beberapa hari bermunajat sempena tahun baru Hijrah.

Riuh rendah tak keruan, terkinja-kinja dan sorak-sorai beserta percikan bunga api meraikan kemunculan 2009, tidak mengambarkan betapa beratnya kepala, sesaknya dada dan serabutnya minda akibat saratnya bebanan dikendong.
 
Pimpinan negara terutama ahli politik, perlu terus menggalas beban yang semakin merebeh di bahu, sedangkan tidak ada tanda-tanda kekusutannya boleh selesai, berbanding terhadap cabaran ekonomi yang kebiasaannya akan berputar semula kepada pertumbuhan positif.

Patah kalam kalau mahu digariskan satu persatu bebanan politik dan sosial itu dengan soal agama, keris, stesen minyak petronas, keanggotaan pasukan keselamatan, pengambilan kakitangan awam dijadikan isu kononnya tidak ada keadilan.

Malah, ada dakwaan melampau kononnya berlaku pembersihan etnik di negara yang amat harmoni selama lebih 50 tahun merdeka ini. Maka, hari demi hari, mereka menjadi semakin berani dengan tuntutan tidak masuk akal termasuk pampasan hidup bernilai jutaan ringgit hingga meniupkan api perkauman yang menjadi antara perhitungan pada Pilihanraya Umum 8 Mac 2008.

Maka, tergugatlah, malah hampir rebah parti yang selama ini kukuh memerintah. Dalam keadaan itupun, ada yang berkata kononnya ia adalah bukti bahawa rakyat mengundi tidak lagi berdasarkan kaum.

Benarkah begitu?

Benar mereka tidak mengundi Barisan Nasional (BN) tetapi bukankah masih lagi mengundi parti-parti berasaskan kaum iaitu DAP yang dikuasai orang Cina dan PAS yang berdengung pegangan Islamnya. Malah, Keadilan pula bingkas dengan manipulasi gerakan Hindraf kaum India.

Ketiga-tiga parti tidak berkempen pun soal hak asasi dan kebebasan tetapi PAS dengan negara Islamnya, DAP masih lagi Malaysia Malaysia sebagai battle cry dan Keadilan bercakap mengenai perubahan yang kelihatan lebih membela penganut Hindu serta anti Melayu.

Penentangan terhadap BN termasuk ahli-ahli partinya sendiri telah menyebabkan pembangkang, tidak kira apa kualiti calonnya telah mendapat sokongan di luar jangkaan sehingga memenangi banyak kerusi.  

Apa yang berlaku selepas pilihanraya itu juga tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa politik berasaskan kaum sudah berkubur di Malaysia. Malah, kita menyaksikan api perkauman semakin marak dengan suara yang semakin lantang  berbanding debelumnya.

Ia bukan sahaja di antara parti-parti yang bertentangan malah antara satu pasukan sehingga ada tuduhan bahawa parti yang memegang tampuk kerajaan suka membuli rakan-rakan dalam barisannya. Tak ada segan silu lagi, tidak bertapis-tapis lagi dan tidak berlindung-lindung lagi jari ditunding kepada orang Melayu dan partinya, UMNO.

Riwayat UMNO mahu ditamatkan

Barangkali tidak keterlaluan kalau mahu dikatakan bahawa ada niat, hasrat dan matlamat yang sudahpun diterjemah dalam bentuk tindakan untuk menamatkan riwayat perjuangan UMNO, iaitu pembela Melayu; yang terpaksa dilakukan dengan mendera sama parti-parti komponen BN.

Memang ada banyak bicara mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri, tetapi yang lebih memedihkan ialah perbincangan mengenai hak-hak istimewa orang Melayu, Dasar Ekonomi Baru, kontrak sosial, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Melayu, siapa pendatang dan siapa tidak, ketuanan Melayu (sepatutnya kedaulatan Melayu) dan termasuklah isu pelantikan hakim-hakim (kalau diamati ada unsur-unsur menuduh ia selama ini berbaur perkauman).  

Maka selepas Pilihanraya Umum itu, peel segolongan pemimpin terus menjadi aneh dan luar daripada kebiasaan, berbeza daripada khalayak dalam pendirian, terburu-buru membuat keputusan dan melatah bila memberi kenyataan.

Mereka bagaikan terpesona dengan segala istilah yang bergaya disebut, sedap didengar, canggih bunyinya, moden istilahnya dan universal maksudnya. Lantas muncullah keputusan atau tindakan yang diuar-uarkan sebagai membersihkan nama, mengembalikan integriti, adil, saksama dan mahu menjadi lebih liberal.

Walhal, tindakan mereka itu membelakangkan majoriti rakyat dan lebih memihak kepada keinginan sekumpulan mereka yang kononnya maju, moden dan terbuka pemikiran. Sedangkan di belakang tindakan itu, tersirat tujuan dan hasrat yang menimbulkan pelbagai prasangka.

Apabila ada sebuah akhbar Cina memaparkan secara meluas mengenai Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, yang dilaporkan berkata orang Cina sebagai 'penumpang'di negara ini; BN segera dirujuk dan UMNO 'diperintah' oleh rakan komponen supaya mengambil tindakan. UMNO pun akur.

Tapi BN tidak pula dirujuk apabila Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mempertikaikan orang Melayu. Kedua-duanya dibela oleh parti masing-masing.

BN tidak pun bersidang dan UMNO tidak pun dapat menyuruh rakan komponennya mengambil tindakan terhadap Lian Hoe yang menyamakan asal usul kedatangan bangsa Melayu, Cina serta India ke negara ini atau ke atas Soi Lek yang menolak istilah ketuanan Melayu.

Begitulah Umno sudah mula 'diperlekehkan' (maaf kerana menggunakan istilah ini) dan semangat BN yang diwarisi sejak sebelum merdeka lagi dipandang ringan apabila ada parti komponen yang mengeluarkan kenyataan berupa ugutan terhadapnya.  

Sebenarnya, kita kena menerima hakikat bahawa politik di Malaysia belum boleh dipisahkan daripada sentimen kaum dan soal kesetiaan kepada bangsa. Ia akan kekal demikian selagi bangsa-bangsa yang terlibat masih berpegang kuat kepada identiti mereka iaitu bahasa, budaya, adat, asal usul dan hubungan sesama etnik.  

Pegangan yang kuat itu dengan sendirinya akan membuatkan setiap kaum terasing dan terpisah dalam identiti masing-masing, tetapi tidak bermakna mereka tidak berkawan, bergaul, bekerjasama dan bersatu padu.  

Itulah yang berlaku sejak kita merdeka lagi dan ia terbukti tidak pun menghalang kita daripada mentadbir negara ini dengan teratur, melangkah bersama, membangun serta makmur, berkongsi kekayaan bersama, sekali gus hidup aman dan harmoni.

Usaha lari daripada realiti itu dengan menonjolkan istilah-istilah sedap didengar dan universal, adalah mainan bibir untuk sekadar popular kepada sekumpulan kecil pihak berpengaruh dan mendapat sokongan hanya sekumpulan masyarakat (barangkali tidak sampai 20 peratus rakyat) yang tidak peduli pun dirinya sudah hilang identiti dan tiada lagi jati diri. 
Komen (0)Add Comment

Tulis komen.
Anda perlu daftar masuk untuk menulis komen. Sila daftar jika anda tiada akaun lagi.

busy
 

FOKUS HARIAN

MB: Hayati konsep keadilan
17 August 2010
KOTA TINGGI, 17: Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, menyeru rakyat di negeri ini agar terus menghayati konsep keadilan yang sekian lama diamalkan di Malaysia. 
More in: Fokus Harian

MATA HATI

Dunia persuratkhabaran: Ke mana akhirnya?
03 August 2010
TEMPOH lebih 100 tahun usia dunia persuratkhabaran tanah  air telah menyaksikan beberapa perubahan...
 

logo botHakcipta Terpelihara © 2009 Medkom
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Segala surat atau komen yang disiarkan adalah pandangan penulis itu sendiri dan tidak semestinya mencerminkan pendapat dan pendirian Medkom. Segala pandangan yang dikirim amat dihargai.
Paparan terbaik dengan Firefox 3.0 [ resolusi 1024x768 ]