|
BACALAH tulisan wartawan Ku Seman Ku Hussain bertajuk ‘Siapa sebenarnya yang rasis’ dalam Mingguan Malaysia 7 September lalu, yang bukan tak semena-mena perlu dibincangkan, tetapi amat mendesak mesti dileraikan.
Istilah lebih mudah difahami ialah ‘siapa sebenarnya yang perkauman’, satu istilah yang selalunya sensitif dan kadangkala jijik untuk menyebutnya, apatah lagi jika dilabelkan pula pada mana-mana kaum di negara ini.
Namun, sudah lama tidak ada penulisan sejujur itu dipaparkan dalam akhbar berbahasa Melayu arus perdana, yang semakin hari semakin tenggelam dalam perasaan up to date yang sehingga tidak lagi ada hala tuju dan identiti perjuangannya.
Tidak seperti akhbar harian berbahasa Mandarin yang ternyata cukup banyak di pasaran berbanding akhbar bahasa lain, dan cukup berpengaruh sehingga pernah dilaporkan ia mempengaruhi pemikiran lebih 85 hingga 90 peratus daripada 6.5 juta penduduk Cina di negara ini.
Lalu, apa yang disajikan oleh akhbar Cina, itulah kefahaman dan pemikiran majoriti penduduk Cina. Hanya sepuluh peratus penduduk Cina yang berpendidikan bukan Cina dan mereka inilah yang tertonjol atau ditonjolkan sebagai fikiran terbuka.
Malah, tulisan Ku Seman itupun adalah responnya kepada isu yang dibangkitkan akhbar berbahasa Cina. Sebuah akhbar Cina memaparkan secara meluas mengenai Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail, yang dilaporkan telah berkata orang Cina sebagai ‘penumpang’ (kalau benar itu yang dimaksudkan) di negara ini.
Tulisan Ku Seman itu hanyalah satu artikel berbanding dikatakan hampir 14 muka surat laporan, berita, analisis dan artikel berkaitan isu Ahmad yang dipaparkan oleh sebuah akhbar Cina pada Sabtu lalu (6 September). Sehinggakan ada antara analisis itu mempersoalkan program-program Biro Tatanegara yang didakwanya mengandungi unsur-unsur perkauman.
Malah, sebelum ini, beberapa tahun lalu, pernah akhbar seumpama itu melaporkan di muka depannya mendesak supaya seorang Menteri Besar meletak jawatan hanya kerana krisis bekalan air di satu daerah.
Apabila ditanya kepada editor akhbar berkenaan mengapa sampai begitu sekali berita yang dilaporkan akhbarnya. Beliau memberikan jawapannya mudah “ia adalah kenyataan parti pembangkang, kami hanya melaporkan.” Begitulah jawapan yang amat ‘bertanggungjawab’ itu dan ia cukup mudah. Yang nyata tidaklah mudah bagi Ku Seman mengatur hujah supaya tidak emosi dalam menggarap kesimpulan siapa sebenarnya perkauman.
Asas-asas yang dibentangkan oleh beliau lebih berlatarkan hakikat dahulu dan semasa – nyata di depan mata, jelas kepada deria telinga – atau pun daripada pengalaman. Ia bukannya teori mahupun retorik ataupun ugutan.
Tidak juga terlalu akademik dan tidak juga omong kosong kerana contoh-contoh dan isu-isu yang dikemukakan Ku Seman dalam hujah-hujahnya adalah perkara biasa yang berlaku sehari-hari. .
Sebenarnya, kandungan tulisan itu bukanlah asing mahupun kes-kes terpencil. Ruangan ini pada tahun lalu pernah merujuk kepada isu perkauman dengan mengambil suasana harian sebagai bukti yang nyata di depan mata.
Umpamanya boleh ditanya bagaimana Melayu, Cina dan India berurusan di pasaran, mahupun dalam perniagaan runcit, perbekalan, bengkel dan restoran. Apakah semua kaum itu sedia pergi ke mana-mana bengkel kereta atau kedai runcit yang bukan milik kaumnya.
Biasakah kita melihat orang Melayu menghantar kereta ke bengkel milik Cina atau biasakah juga kita melihat orang Cina membaiki kereta di bengkel milik Melayu. Begitu juga kita tanyakan mengenai orang India dalam konteks yang sama.
Itu boleh kita perhatikan sendiri setiap hari. Kemudian kita jawablah sendiri secara jujur. Itu kita belum bicara soal tawar-menawar harga barangan, kerenah pembekalan, syarat pembayaran dan tempoh kredit oleh pembekal.
Begitulah sejak dahulu, suasana dalam negara ini yang tidak mahu dipertikaikan kerana itu adalah hak dan kebebasan individu. Lebih-lebih lagi kita telah diasuh dan diajar untuk menghormati, beralah dan mendahulukan orang lain, tidak kiralah tetamu mahupun jiran tetangga.
Sebab itu, adalah mudah kerakyatan negara ini dianugerahkan kepada semua orang apabila bumi ini dimerdekakan pada 1957. Setiap orang mendapat hak kewarganegaraan yang tidak pun dinikmati ketika diperintah oleh penjajah; hak menganuti agama, mengamalkan adat resam dan budaya serta menggunakan bahasa ibunda. Perlu diakui ketika itu, bumi Tanah Melayu mudah menerima orang luar ketika pendatang berkenaan tidak pun dilayan oleh negara-negara yang berhampiran dengan negara asal mereka.
Memanglah itu generasi terdahulu, dan hampir kesemua yang ada pada hari ini adalah yang lahir di negara ini. Namun, itu tidak bermakna kita lupa kepada sejarah dan memperlekehkan hakikat masa lalu, kerana ciri-ciri itu, tradisinya, nilai sosial dan norma-normanya yang menentukan corak negara kita sehingga ke hari ini.
Sebab itu, pendidikan dengan pengantar bahasa ibunda tetap dibenarkan dan kemudahan itu adalah satu-satunya yang dapat dinikmati oleh kaum terbabit di luar China dan benua India.
Kaum asal Tanah Melayu ini menerima hakikat bahawa sekalipun daripada asal usul berasingan, mereka akui saling memerlukan, lalu membentuk persefahaman dan perpaduan.
Segala masalah dikongsi dan segala kemewahan dinikmati bersama. Ia merentasi sempadan kaum, keturunan dan budaya, dari utara hingga ke selatan dengan berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing.
Seharusnya, selepas setengah abad kita merdeka, perhubungan ini bukan sahaja kukuh, tetapi erat dan sebati, agar cubit paha kanan, paha kiri pun terasa. Sesungguhnya kita bukan hanya perlu hidup bagaikan aur dan tebing malah hendaklah seperti isi dengan kuku.
Namun bolehkah itu berlaku sekiranya anak-anak kita masih lagi diasing-asingkan dalam sistem pendidikan sejak kecil lagi, sedangkan kita tahu bahawa kalau melentur buluh kenalah daripada rebungnya.
Sebab itu, apabila berlaku sesuatu yang menyentak kita dalam hubungan kaum ini, kita rasakan ia amat rapuh. Apa yang kita kata moden itu seperti sama rata, keadilan, keterbukaan adalah pada mulut yang manis, tetapi amalan dan budayanya masih kuat terikat kepada pemikiran ortodoks dan kekitaan yang kental.
Lalu, tanpa sedar mudah kita mengatakan orang lain perkauman sedangkan sikap dan perbuatan kita adalah lebih lagi. Jika kita biarkan itu berterusan, hanya bumi ini sahaja yang merdeka sempadannya, tetapi kita tidak merdeka jiwa dan pemikiran.
 |