Lupa password? Lupa username? Cipta Akaun
Anda di sini > Home Khabar Mata Hati Kisah benar lagi betul
Wed 08 Sep 2010
 
Kisah benar lagi betul PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Mohd Sa'odi Mat Atar   
Jumaat, 15 Ogos 2008 08:00 | 982 hits
Orang Melayu tidak berkira sangat di kedai siapa mereka berbelanja.
BUKAN hanya sekarang, sebaliknya sejak dulu lagi, malah jauh lebih lama sebelum-sebelumnya, sehinggakan tidak ada yang pasti mengenai tarikhnya – bahawa penduduk asal negara ini, sentiasa mudah menerima kehadiran orang luar.
 
Baik ketika negeri-negeri di Semenanjung ini terasing dengan sempadan kenegeriannya, mahupun ketika dijajah lebih 450 tahun lamanya, atau sesudah merdeka dan berkerajaan sendiri 50 tahun lalu, sikap ini tetap sama.

Sama ada di pekan, bandar kecil, kota metropolitan, hatta di pedalaman kampung dan desa sekalipun, latar sikap penerimaan kepada orang luar tetap sama, budayanya juga tidak banyak berbeza.

Cerminan ini sentiasa menjadi latar drama, filem, cerpen, novel dan puisi Melayu sejak dulu. Sebabnya, itulah suasana masyarakat yang ada dihadapan kita, malah kita tempuhi dan alami selama ini.

Inilah antara cetusan cerpen berjudul ‘Lintah’ nukilan Anwar Ridhwan yang disiarkan oleh akhbar Berita Minggu pada 9 Disember lalu, yang amat elok ditatapi dan dihayati semua pihak, di tengah-tengah kecelaruan tuntutan melibatkan kelompok kaum tertentu di negara ini.

Kisah yang dipaparkan Anwar itu cukup universal dalam konteks negara ini. Cumanya ia jarang dikupas dari sudut berkenaan, atau sengaja didiamkan, atau tidak mahu dibincangkan oleh sesiapa kerana sebab tersendiri masing-masing.
 
Mesejnya; kejayaan seseorang dari mana-mana kaum sebenarnya dicapai melalui sokongan daripada keseluruhan masyarakat, iaitu kaum lain juga, bukan semata-mata kerana keupayaan dirinya atau kaumnya.


Masyarakat yang tidak memilih warna kulit

Sebagai contoh, mari kita hayati latar kisah benar ini di pekan bernama Selekoh, di satu daerah di utara tanah air. Pekan Selekoh menjadi pusat bekalan kepada beberapa kampung di sekitaranya.

Majoriti peniaganya adalah orang Cina dan majoriti pelanggannya adalah orang Melayu termasuk keturunan Jawa dan Banjar. Sama ada kedai runcit, kedai menjahit pakaian, barangan elektrik, bengkel motosikal, kedai basikal, buah-buahan, sayuran dan ikan, malah hampir semua bekalan yang diperlukan oleh penduduk kampung, dibekalkan peniaga Cina.

Memang ada sedikit penduduk Cina di pekan itu, namun kebanyakan mereka adalah keluarga peniaga itu sendiri, selebihnya pekerja-pekerja estet berdekatan. Maka, perniagaan orang-orang Cina ini terus hidup serta berkembang dengan sokongan pelanggannya di kalangan orang Melayu.
Sebagai contoh khusus, sebuah kedai kopi, Boi Tan Kooi namanya, menjual mee rebus setiap pagi. Lebih separuh pelanggan yang mengisi meja-meja dalam kedai itu adalah orang Melayu. Malah, anak-anak muda yang berhijrah dan pulang sekali sekala juga, tetap singgah melepaskan rindu menikmati mee rebus Tan Koi.

Ketika itu, penduduk kampung yang berkebun kelapa, menjadi nelayan, mengambil upah di sana sini, hanya mampu berbasikal dan yang mewah sedikit, bermotosikal. Tan Kooi yang maju perniagaannya memiliki kereta dan mampu pergi bercuti.
 
Begitu jugalah selang tiga kampung di pedalaman sedikit dari Pekan Selekoh ini, ada sebuah sekolah rendah kebangsaan yang kesemua pelajarnya adalah anak-anak orang Melayu. Kira-kira 20 meter dari pagar sekolah itu ada sebuah kedai runcit dipanggil Chuan. Kedai itu juga maju dengan pelanggannya semua pelajar dan penduduk kampung di situ.

Ini tidak pelik bukan? Hampir semua tempat di Semenanjung ini keadaannya begitu dan ia terus kekal sehingga ke hari ini.

Melayu berjiwa pemurah

i bandar-bandar, orang Melayu tidak pernah memilih premis mengikut pemiliknya sama ada pasar mini, kedai runcit, bengkel kereta dan motosikal, klinik, kedai perabot dan pakaian, salun kecantikan dan kedai gunting rambut.

Di Johor Bahru, Plaza Angsana yang dikatakan pasaran orang Melayu, ramai peniaganya adalah di kalangan bukan Melayu.

Kalau rajin, berbuallah dengan pekedai barangan elektrik, perabot, pinggan mangkuk, langsir dan segala macam keperluan barangan rumah, mengenai siapa dan majoriti dari kumpulan mana pelanggan mereka.

Orang Melayu memang tabiatnya suka menukar perabot, barangan elektrik dan mengganti langsir atau setidak-tidaknya menukar fabrik, lebih-lebih lagi di musim perayaan.

Apakah kriteria yang digunakan oleh Melayu dalam memilih kedai untuk mendapatkan bekalan tersebut?
 
Namun, cuba kita fikirkan dan renung-renungkan siapa pelanggan bagi premis-premis milik Melayu seperti bengkel kereta dan motosikal, kedai runcit, pakaian, salun dan apa jua kedai peniaga Melayu.

Setelah kita fikirkan dan tinjau sendiri, buatlah analisa dan kesimpulan masing-masing.

Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata, yang lebih kurang bermaksud jikalau dicabut semua harta milik bukan Melayu di Kuala Lumpur, ibu kota tersebut menjadi gersang. Maknanya, tidak ada langsung milik orang Melayu.

Namun satu perkara yang perlu diakui, bahawa kemajuan dan kejayaan yang berlaku di Kuala Lumpur, tidak sekadar kerana keupayaan syarikat atau pemiliknya, tetapi berkat sokongan institusi masyarakat termasuk Melayu yang bekerja dan menghuni kota metropolitan itu.

Setiap sen yang dibelanjakan oleh orang Melayu, atau mana-mana kaum sekalipun, baik Cina, India, Sikh dan mana-mana keturunan, tidak boleh dipandang ringan dalam menyumbang kepada pencapaian tersebut.

Melayu banyak memberi

ari sudut pandangan orang Melayu, mengenai hubungannya dengan bukan Melayu – tidak pernah wujud benteng yang tinggi. Orang Melayu mempunyai sikap yang amat toleran sejak zaman kesultanan Melayu lama dahulu hinggalah sekarang.

Tidak perlulah kita bercakap soal yang lebih ‘tinggi’ seperti soal Perlembagaan, undang-undang dan pengagihan kuasa yang sudah termaktub haknya dan amat jelas amalannya dalam pentadbiran negara.

Cukup sekadar kita bicara mengenai soal harian yang ada di depan mata, yang nyata tidak menganiaya sesiapa, malah memberi peluang kepada semua.

Setiap kaum berpeluang meningkatkan status hidupnya, melalui peluang pendidikan, keusahawanan dan perniagaan.

Orang Melayu bersedia bersahabat dengan sesiapa sahaja, malah mudah mengubah sebutan percakapan sehingga menjadi bahasa pasar untuk memudahkan perhubungan dengan kaum lain.

Tidak sesiapa meminta diasingkan di tempat awam termasuklah seperti di dalam bas, keretapi, pawagam, restoran dan sekolah.

Kalau ada yang tak mahu bercampur, itu adalah atas kehendak mereka sendiri.

Orang Melayu tidak pernah menuntut demikian, malah merelakan semua kaum menjalankan aktiviti masing-masing.

Semua orang boleh menjalankan usaha ekonomi dalam apa jua bidang (walaupun orang Melayu selalunya ketinggalan) sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Boleh juga memiliki tanah-tanah untuk pertanian dan pembangunan, membina kuil-kuil dan rumah ibadat sejak dahulu lagi.

Oleh itu, mengapa tiba-tiba, tak semena-mena dikatakan berlaku pembersihan etnik di negara kita ini? Barangkali ada sebab tempua bersarang rendah.
Komen (0)Add Comment

Tulis komen.
Anda perlu daftar masuk untuk menulis komen. Sila daftar jika anda tiada akaun lagi.

busy
LAST_UPDATED2
 

FOKUS HARIAN

MB: Hayati konsep keadilan
17 August 2010
KOTA TINGGI, 17: Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, menyeru rakyat di negeri ini agar terus menghayati konsep keadilan yang sekian lama diamalkan di Malaysia. 
More in: Fokus Harian

MATA HATI

Dunia persuratkhabaran: Ke mana akhirnya?
03 August 2010
TEMPOH lebih 100 tahun usia dunia persuratkhabaran tanah  air telah menyaksikan beberapa perubahan...
 

logo botHakcipta Terpelihara © 2009 Medkom
Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Segala surat atau komen yang disiarkan adalah pandangan penulis itu sendiri dan tidak semestinya mencerminkan pendapat dan pendirian Medkom. Segala pandangan yang dikirim amat dihargai.
Paparan terbaik dengan Firefox 3.0 [ resolusi 1024x768 ]