
"Memang saya ada niat untuk berhenti daripada menagih, tetapi setiap kali saya keluar dari Puspen, masyarakat masih memandang serong kepada saya. Apabila berlaku kecurian di kampung, sayalah yang jadi sasaran. Ia memberi tekanan kepada saya. Jadi, saya fikir, apa gunanya berubah? Lebih baik menagih semula."
Itulah luahan perasaan Helmi (bukan nama sebenar), 37, ketika menceritakan pengalamannya yang sudah tiga kali masuk ke pusat pemulihan. Kini dia ditempatkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Muar.
Menurutnya, walaupan hasrat penghuni Puspen sebenarnya berkobar-kobar untuk berubah apabila keluar nanti, namun pandangan serong dan hina masyarakat terhadap bekas penagih dadah itu membuatkan daya ketahanan diri mereka menurun.
Helmi yang berasal dari Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan, berkata dia pernah dimasukkan ke Puspen Tiang Dua dan Puspen Sungai Ruan, kedua-duanya di Pahang.
Pelatih yang kini positif HIV itu menceritakan bahawa dia mula terjerumus ke kancah dadah sejak berusia belasan tahun dengan tujuan untuk sekadar mencuba-cuba.
"Apabila sudah terjebak, amat sukar untuk berundur. Dulu saya menagih heroin. Satu hari saya perlukan sekurang-kurangnya 10 tiub. Tapi Alhamdulillah, sejak 4 Ogos 2008, saya telah meninggalkan heroin sama sekali. Tapi saya terpaksa mengakui bahawa bukannya mudah untuk meninggalkan dadah," jelasnya.
Helmi yang diberi tanggungjawab sebagai ketua asrama kepada 52 pelatih berkata, kepercayaan yang diberikan oleh pihak Puspen Muar itu menguatkan semangatnya untuk berhenti menagih walaupun ia menyiksa dirinya.
"Di pusat ini juga kaunselor menggunakan pendekatan Theraputic Community (TC) yang banyak mengajar saya erti kejujuran, kepercayaan dan kesabaran," katanya.
Helmi berharap agar masyarakat dapat membantu bekas penagih sepertinya memulakan hidup baru tanpa prasangka atau pandangan serong.